Tuesday, August 11, 2009

KONGSIKAN. BUKAN LAGI IMPIAN.

Hari ini Puan Nor Maizatul Azura Hussin di anugerahkan Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk beliau mengharungi kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan seorang guru yang berdedikasi. Berbagai rintangan yang terpaksa dilalui tetapi hari ini menjadi bukti, apa yang di impikan telah menjadi realiti.

Dalam tempoh pengajian, beliau juga diamanahkan tugas sebagai guru penolong kanan ko-kurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam. Walaupun sibuk dengan tugasan yang mencapai kejayaan hingga keperingkat kebangsaan dan ada juga yang mencecah keperingkat antarabangsa dibawah seliaan beliau, namun cita-cita ingin menjadi graduan bersarjana tetap dipegang teguh.

Ramai kawan-kawan beliau telahpun mendapat ijazah sarjana dalam bidang Teaching English as a Second Language (TESL) semasa mereka bersama belajar di Texas USA. Tetapi kumpulan beliau tidak diberikan biasiswa untuk melanjutkan keperingkat sarjana ekoran masalah ekonomi yang melanda dunia dan Negara. Ianya tidak menjadi penghalang.

Dalam kesibukan itu jugalah beliau sempat bertukar sekolah tempat mengajar kembali ke tempat kelahiran beliau di Terengganu. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kesedaran beliau perlu menjaga ibunya yang sudah meningkat tua. Apatah lagi bapa beliau telah kembali kerahmatullah tak sampai 2 tahun selepas pencen sebagai tenaga pengajar. Permintaan beliau dipersetujui oleh suami dan anak-anak. Walaupun perit untuk menerimanya tetapi inilah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh semua untuk isteri dan ibu tercinta.

Keyakinan hijrah mesti ada kebaikan dituruti dengan penuh ketabahan. Selama beberapa tahun, Puan Nor perlu memandu atau menaiki bas untuk menghadiri kuliah di UM. Keadaan ini bukan mudah difahami oleh semua orang. Setelah selesai pengajian kursus (kelas) beliau mula fokus kepada penghasilan kertas kerja yang menjadi syarat untuk tamat pengajian. Beliau menfokuskan kajian kepada “Multiple Intelligence” dikalangan pelajar-pelajar peringkat sekolah kebangsaan. Ramai di antara sahabat beliau yang mengatakan kesungguhan beliau membuat kajian mengalahkan calon PhD. Namun, tekanan sebagai pelajar yang berada jauh dari UM menyukarkan beliau untuk dapat meluangkan masa yang banyak bersama penyelia thesis beliau. Penyelia beliau tidak berpuashati dengan komitmen beliau seolah-olah tidak mengetahui keadaan sebenar anak didik. Akhirnya, beliau dilayan seperti orang malas dan tidak berkualiti dan tiada komitmen yang tinggi. Akhirnya, semester demi semester beliau disarankan untuk menangguhkan kajian tersebut kerana beliau tidak dapat memenuhi kehendak masa penyelia.
Beliau pernah hampir mengaku kalah kerana tidak tahan dengan kerenah sipenyelia. Suami beliau memberi jaminan kalau beliau tidak teruskanpun tidak mengapa. Tetapi, satu keluarga akan membuat bantahan kepada setinggi-tinggi pemimpin di UM dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana bukan sahaja Pn Nor telah berkerja keras malahan satu keluarga juga telah membuat berbagai-bagai pengorbanan. “Ini perjuangan kami sekeluarga”.

Apabila telah ada impian yang jelas, separuh dari perjalanan telahpun dibina. Apabila dikongsikan pula dengan seseorang dengan kesungguhan, maka sebahagian lagi juga turut dibina. Maka hasilnya, impian menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment